Ahad, 7 Mac 2010

FIKRAH: Tutup aurat sambil lewa undang bahaya

GANGGUAN seksual kerap menjadi trauma kepada wanita berkerjaya. Mangsa dikatakan sering menjadi sasaran lelaki tidak bertanggungjawab untuk kepuasan hawa nafsu sendiri.


Bagi wanita yang berdepan masalah itu dengan rakan sekerja, ia umpama mimpi ngeri apabila setiap kali kaki melangkah tempat kerja.

Mereka bimbang dan takut apabila teringatkan sikap rakan sekerja yang mengganggunya, sama ada dengan melontarkan kata-kata atau perkataan tidak disenangi atau menunjukkan isyarat dan visual berbentuk seksual.

Malangnya, dilema itu sukar dihindarkan, terutama jika membabitkan seseorang yang berkedudukan kukuh dan mempunyai pengaruh kuat di tempat kerja.

Akhirnya, dalam kebanyakan kes gangguan seksual di tempat kerja, wanita yang menjadi mangsa membuat pilihan mendiamkan diri tanpa membuat apa-apa tindakan terhadap perbuatan menjijikkan itu.

Gangguan seksual bukanlah masalah baru yang menimpa golongan wanita. Sebaliknya jenayah itu berlaku sekian lama, samalah dengan kejadian rogol, cabul kehormatan dan pembunuhan kejam yang rata-rata membabitkan mangsa wanita.

Senario jenayah sosial yang berlaku kebelakangan ini sepatutnya difikirkan bersama oleh seluruh masyarakat tanpa mengira pangkat, kedudukan, agama dan bangsa.

Dalam mencari jawapan terhadap kemelut itu, banyak cadangan dikemukakan, termasuk mewujudkan pelbagai peraturan bagi membendung sebarang peri laku yang boleh mengancam kedudukan wanita.

Bagaimanapun, di sebalik menghukum dan mengkaji peri laku penjenayah itu, setiap wanita tidak terkecuali untuk memikirkan beberapa faktor yang mendorong berlakunya jenayah berkenaan.

Sebenarnya, sikap segelintir wanita juga memberi ruang kepada berlakunya jenayah terbabit.

Umpamanya, ada segelintir wanita yang sengaja mempertontonkan tubuh mereka kepada umum atau dalam erti kata lain mendedahkan aurat. Ini kerana wanita berkenaan tidak menyedari had atau batasan di sisi agama serta pantang larang adat dalam sesebuah masyarakat.

Sungguhpun menutup aurat, masih ada juga yang tidak memahami konsep sebenar menutup aurat seperti mana yang dianjurkan syarak. Mereka menutup aurat pada bahagian tertentu tetapi, pada masa sama mendedahkan pula bahagian anggota tubuh lain. Ada yang mendakwa menutup aurat tetapi masih memakai pakaian ketat hingga menampakkan susuk tubuh.

Perubahan masa turut mengubah trend menutup aurat di kalangan wanita ketika ini. Pelbagai jenis tudung, baju dan jubah diperagakan, tetapi adakah ia memenuhi tuntutan sebenar menutup aurat menurut Islam?

Sebenarnya suasana seperti ini sudah pun dijelaskan Rasulullah saw mengenai keadaan yang bakal berlaku pada akhir zaman. Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, yang bermaksud: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang-lenggok ketika berjalan, menghayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta.

“Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium wangiannya. Sesungguhnya bau wangian syurga itu sudah tercium dari perjalanan sangat jauh daripadanya.” (Hadis riwayat Muslim).

Kebenaran hadis yang diucapkan Rasulullah ini dapat dilihat dalam kehidupan masyarakat hari ini, terutama terhadap golongan kedua iaitu ramai perempuan berpakaian tetapi bertelanjang.

Maknanya, golongan ini, jika hendak dikatakan berpakaian pun boleh kerana masih ada pakaian yang menutupi badannya. Jika hendak dikatakan bertelanjang pun boleh kerana walaupun berpakaian, tetapi hanya dengan secebis kain saja.

Golongan kedua ini juga termasuk mereka yang berpakaian sangat nipis hingga menampakkan warna kulit badan.

Sesungguhnya, sikap segelintir wanita yang tidak memahami tuntutan dalam menutup aurat ini tentu akan mendedahkan diri mereka kepada bahaya lelaki bersifat kehaiwanan yang sentiasa mencari peluang untuk memuaskan nafsu.

Yang pasti, menutup aurat mengikut kehendak Islam adalah langkah pencegahan yang digariskan Islam bagi membendung jenayah seksual.

Kita perlu sedar, untuk memantau jenayah dan gangguan seksual secara menyeluruh adalah satu tindakan sukar. Ini kerana pihak berkuasa tidak mampu menempatkan pegawainya untuk memerhati seseorang di setiap tempat dan sepanjang masa, demi mengelak berlaku sesuatu jenayah.

Pelbagai cara sudah diambil oleh kerajaan untuk mencegah kejadian ini. Namun, apalah gunanya jika wanita sendiri tidak mengambil kisah untuk menjaga penampilan diri demi maruah serta harga diri.

Paling penting, amalan menutup aurat hendaklah digalakkan dalam sebarang kempen pencegahan jenayah dan gangguan seks di kalangan kaum wanita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan